Datu Paduka Mat Salleh adalah seorang tokoh pahlawan terbilang di negeri
Sabah di zaman penjajahan British. Beliau adalah seorang pahlawan dan
Ketua Masyarakat yang berbangsa Suluk - Bajau. Bapanya dikenali sebagai
Datu Balu dan merupakan seorang Penguasa atau Ketua di kawasan Sugut.
Ibunya berbangsa Bajau dan dipercayai berasal dari Inanam. Mat Salleh
adalah tokoh pejuang yang menentang penjajahan British di Sabah.
Kegagahan dan kepimpinan beliau bukan sahaja ditakuti oleh pihak
Britsih, malahan beliau telah melancarkan penentangan ala-gerila yang
menyatukan kaum-kaum bumiputera di Sabah. Beliau adalah Lambang Perpaduan Rakyat Sabah.
Sewaktu
menentang penjajahan British beberapa orang Pahlawan Sukuan telah
sama-sama bergabung dan bernaung di bawah Mat Salleh. Antaranya ialah
Mat Satur ( Balanini ), Kamuntah ( Suku Illanun ), Kolindod ( Suku
Rungus ), Langkap ( Dusun ), Timus ( Bajau Samah ), Pangeran Syahbandar (
Suku Brunai ) dan lain-lain lagi.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau.
Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan
Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau
dengan angkatan tentera yang lebih besar.
Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan
yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh
tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat
beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk
meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota.
Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri
apabila dikepung musuh.
Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat
Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899,
Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan
peperangan tercetus kembali.
Dan akhirnya pada 31 Januari 1900,
kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya
mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya
Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.