Saturday 19 October 2013

Projek HIDS ( Hari Ini Dalam Bersejarah )

       Datu Paduka Mat Salleh adalah seorang tokoh pahlawan terbilang di negeri Sabah di zaman penjajahan British. Beliau adalah seorang pahlawan dan Ketua Masyarakat yang berbangsa Suluk - Bajau. Bapanya dikenali sebagai Datu Balu dan merupakan seorang Penguasa atau Ketua di kawasan Sugut. Ibunya berbangsa Bajau dan dipercayai berasal dari Inanam. Mat Salleh adalah tokoh pejuang yang menentang penjajahan British di Sabah. Kegagahan dan kepimpinan beliau bukan sahaja ditakuti oleh pihak Britsih, malahan beliau telah melancarkan penentangan ala-gerila yang menyatukan kaum-kaum bumiputera di Sabah. Beliau adalah Lambang Perpaduan Rakyat Sabah.

Sewaktu menentang penjajahan British beberapa orang Pahlawan Sukuan telah sama-sama bergabung dan bernaung di bawah Mat Salleh. Antaranya ialah Mat Satur ( Balanini ), Kamuntah ( Suku Illanun ), Kolindod ( Suku Rungus ), Langkap ( Dusun ), Timus ( Bajau Samah ), Pangeran Syahbandar ( Suku Brunai ) dan lain-lain lagi.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.
Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.

 Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.